[VIDEO] PRN Melaka: PN belum muktamad agihan kerusi, intai tambahan dua kerusi

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) masih berunding bagi memuktamadkan pembahagian kerusi bersama parti dalam gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan sasaran mendapatkan tambahan dua kerusi daripada tujuh yang dibincangkan setakat ini bersama UMNO.

**media[3686893]**

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan berkenaan masih berlangsung dan keputusan akhir dijangka dibuat dalam masa terdekat, termasuk kemungkinan satu atau dua kerusi tambahan.

Menurut beliau, perbincangan itu kini berada di peringkat Jawatankuasa Induk dan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat yang dijangka berlangsung dalam tempoh sehari dua ini.

"Setakat ini kita masih belum final. Walaupun tujuh kerusi yang disebut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu ialah kerusi yang tidak dimenangi BN (Barisan Nasional), kita masih ada perundingan untuk satu atau dua kerusi lagi.

"Kita jangka mungkin hari ini atau esok dapat dimuktamadkan, insyaALLAH," katanya semasa sidang media pada Jumaat.

Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah di Kuliah Pagi Jumaat Perdana sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Ujar beliau, tujuh kerusi berkenaan setakat ini dianggap oleh UMNO sebagai kerusi yang perlu dikekalkan di bawah parti itu, namun Pas masih berharap ruang rundingan dapat membuka peluang untuk mendapatkan tambahan kerusi.

Tuan Ibrahim memberitahu, keputusan berhubung pembahagian kerusi itu akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti menerusi jawatankuasa perundingan kerusi.

Mengulas mengenai tujuh kerusi yang sedang dibincangkan, ujarnya, kawasan terbabit merangkumi empat kerusi yang dimenangi DAP dan tiga lagi kawasan majoriti Melayu.